Pages

Friday, June 10, 2011

Buangkan Penyakit Wahan Itu

Bismillah.
Assalamualaikum.

Apa khabar sahabat2 smua yang kebetulan atau sememangnya sedia mengujung blog ini.
Mudahan kalian berada dalam keadaan sihat, ceria, tidak stress, sentiasa bersikap dan berfikiran positif. InsyaAllah.

Sambil menghayati keindahan bait2 lagu, sama2 kita  mencerdaskan pemikiran kita, berfikir soal akhirat dan dalam masa sama menikmati kemudahan "prasarana" yang Allah taala sediakan di dunia ini dengan seadilnya bagi urusan kehidupan kita.Ramai orang menyangka atau berfikiran negatif bahawa dengan berfikir soal kematian, ia akan melemahkan badan kita daripada bekerja dan hanya menumpu urusan tikar sejadah semata-mata. Ramai yang berkata bahawa mengingati mati akan merencatkan motivasi kepada sikap untuk mencapai kejayaan. Malah ada juga yang berpendapat bahawa berfikir tentang kematian, menjadi sebab mengapa orang Islam lemah dan tidak berjaya.

Inilah suatu kefahaman yang salah dan tidak wajar menjadi suatu i'tikad atau pegangan hidup kita. Asas kepercayaan yang betul akan membawa kepada halatuju kehidupan kita. Sedangkan matlamat kehidupan yang ditekankan dalam Islam adalah untuk mencapai keredhaan Allah SWT. Apakah salah sekiranya kejayaan, nikmat, serta perolehan di dunia ini sebagai suatu perkara yang dibenci Islam? Kita telah 'memblockkan' pemikiran kita dengan menerima serta mempercayai bahawa sesuatu perkara perlu dibiarkan sahaja kerana dalam urusan Allah semata-mata dan membiarkannya yakni redha tanpa sebarang usaha, tetapi dalam masa yang sama masih juga mengharapkan agar mendapat kejayaan. Sifat tawakkal yang disalah ertikan sebagai mengharapkan sesuatu keajaiban berpihak kepada diri tanpa usaha merupakan suatu penyakit yang merbahaya.

Berbalik kepada persoalan kematian tadi, Nabi saw pernah menyifatkan bahawa manusia yang paling cerdik adalah mereka yang selalu mengingati kepada kematian. Kematian adalah suatu pengakhiran kepada kehidupan dunia, untuk suatu peralihan ke destinasi yang baru pula iaitu alam barzakh dan seterusnya alam akhirat. Destinasi-destinasi alam yang berbeza ini membawa makna bahawa erti kehidupan tidak akan pernah berakhir hanya setelah keluarnya roh daripada badan ketika di dunia, tetapi pengembaraan yang akan disertai oleh kita nanti merupakan suatu pengembaraan yang panjang.

Pengembaraan yang panjang ini memerlukan bekalan yang mencukupi bagi setiap destinasi. Bekalan hanya dimiliki disuatu alam iaitu dunia. Sebagaimana Nabi Saw pernah membuat analogi yang menarik terhadap pengembaraan manusia sebagai hamba di dunia ini sebagai suatu pelayaran kapal yang berangkat ke sebuah destinasi lalu singgah di sebuah pulau indah, di sana manusia meredahi pulau mencari bekalan dalam keasyikan nikmat, ada yang mendapat bekalan sebaiknya, tetapi ada yang terpedaya dengan aneka nikmat, sehingga kapal belayar mengambil mereka dalam keadaan mereka tidak membawa bekalan sebanyaknya dan ada yang tiada. Motivasi di sebalik kematian itu adalah suatu maksud yang tersirat supaya manusia mempersiapkan segala kekuatan, bekalan, dengan bersungguh-sungguh bagi merapati Allah dalam keadaan yang baik.

Dunia adalah sebagai alat atau jambatan kepada akhirat. Mematikan hubungan dunia akan meruntuhkan jambatan ke akhirat. Segala perhiasan yang ada di dunia adalah berbentuk pinjaman. Ada yang Allah berikan percuma, manakala untuk mendapat nikmat yang lebih besar lagi di akhirat, manusia harus menggunakan nikmat tersebut dengan cara yang sewajarnya. Mengenali batasan halal dan haram, membezakan baik dan buruk, mem'balance'kan keperluan diri dan tidak bersikap berlebih-lebihan membawa kepada erti Al-Falah yakni kejayaan hakiki dalam tafsiran pengabdian kepada Allah SWT. 

Asas keimanan yang kukuh, kefahaman yang syumul ke atas makna kepada tugas sebagai hamba dan manusia ini jelas difahami oleh para sahabat r.anhum sehingga membawa kepada gelaran Fursanun Fillail, Ruhbanun Fin Nahar (Menjadi panglima jihad di siang hari, dan menjadi rahib(ahli ibadat) di malam hari. Mereka menempa kejayaan berganda dengan kekuasaan Islam, sehingga berjaya menyebarkan Islam di muka bumi ini dengan penaklukan 2/3 dunia di bawah wilayah Islam, kejayaan bidang sains, astronomi, al falak, mantik, ilmu geografi, fizik, kimia, biologi, matematik, falsafah,muzik,statistik, perubatan dan pelbagai lapangan ilmu sehingga kota-kota seperti Cordova di Andalusia, Baghdad di Iraq, Istanbul di Turki, menjadi sebutan dalam lebaran sejarah di bawah sistem khalifah Islam. Semangat jihad(kesungguhan) menjadi tulang belakang kepada perjuagan membawa nama Islam dalam setiap aspek dan nilai kehidupan.

Para ahli tasauf yang faqih begitu menghayati kesederhanaan dalam berurusan dengan muamalat kehidupan. Mereka yang mengerti, tidak akan memisahkan 2 dunia ini sebagai jalan mendapatkan cinta daripada Allah taala. Allah menghiasi manusia dengan fitrah supaya manusia memakainya dengan selayaknya dan bukan sebagai alasan melupakan perintahNya dan laranganNya. Cinta kepada manusia dengan cara yang salah tanpa berpaut kepada Allah, maka tidak membawa makna kepada takrifan ibadah. Cinta yang diikat dengan akidah, asas kepercayaan yang kukuh, dalam menjaga ikhtilat, batasan-batasannya akan mendapat mardhatillah(redha Allah) yang di damba serta beroleh meghfirah(keampunanNya).

Sehubungan dengan itu, marilah sama-sama kita meneladani sirah perjalanan hidup Rasulullah saw, para sahabat baginda dan tabi' tabien yang mendapat petunjuk. Kita harus meyakini bahawa penyempurnaan manusia pada penciptaannya adalah menjadi hamba yang bertakwa kepadaNya, baik kalangan lelaki dan perempuan.

P/s: Ayuh, sama-sama kita memulakan perjalanan hidup ini dengan semangat dan jiwa tarbiyah yang baru, minda yang sentiasa berfikir, badan yang sentiasa bekerja untuk mendapat mardhatillah dalam kehidupan kita. Memahami tanggungjawab yang berat, sememangnya memerlukan kepada persiapan diri yang kuat. Baka yang soleh akan menghasilkan generasi yang cemerlang.
Ceria2 selalu :-) untukmu

Selitan Gambar Kenangan
kereta yang dipandu arwah atuk, Tuan Chilek bin Tuan Putera yang telah meninggal dalam kemalangan langgar lari. Alfaatihah.

1 comment:

  1. Alhamdulillah..Syukran jazilan atas perkongsian ini.. Peringatan untuk diri saya juga..Semoga kita semua sentiasa berada dalam jalan perjuangan yang diredhaiNya..Moga Allah mempermudahkan segala urusan kita. Yakin dan percaya pada janji Allah..


    "Wahai orang-orang yang beriman, jika kamu menolong agama Allah, maka Allah akan memepermudahkan urusanmu. Dan meneguhkan kedudukanmu." (Muhammad : 7)


    Insya-Allah..
    Satu mesej buat empunya blog.


    "Dalam jauh perjalanan, Allah amanahkan sebuah perjuangan. Terimalah dengan kekuatan. Kadang-kadang dugaan yang mendatang, terkadang teman tidak sehaluan, terkadang kejayaan gagal dicapai. Namun itulah ujian dalam mencari iman. Moga jelas fikrah dijiwa dalam perjuangan Islam tercinta demi merebut RedhaNya...."

    wallahua'lam

    ReplyDelete