Pages

Thursday, November 11, 2010

Tukang kebun jadi pengarah syarikat


KUANTAN - Seorang lelaki Orang Kelainan Upaya (OKU) terkejut apabila mendapat tahu namanya didaftarkan di Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) sebagai Pengarah di tiga buah syarikat. 

Mohd Syawaluddin Hassan, 36, yang berasal dari Kampung Tengah berkata, bukan sekadar namanya didaftarkan sebagai Pengarah, malah dia turut menjadi penjamin kepada salah satu syarikat berkenaan untuk membeli sebuah kereta jenis Mercedes Benz. 

“Jika difikirkan secara logik, memang tidak masuk akal seorang OKU mampu untuk menjadi penjamin membeli kereta mewah sedangkan gaji bulanan saya sekadar cukup makan. 

“Saya sedar nama saya digunakan untuk menjadi penjamin setelah pihak bank menghantar surat meminta saya untuk menjelaskan hutang yang tertunggak,” katanya yang bekerja sebagai tukang kebun. 

Keliru dengan keadaan tersebut, Syawaluddin bertindak membuat laporan polis sebelum merujuk kepada pihak bank berkenaan untuk mendapatkan kepastian. 

“Banyak kali saya ke bank, tetapi masalah saya masih tidak diselesaikan. Keadaan tersebut membuatkan saya bertindak untuk membuat aduan kepada Pusat Khidmat Ahli Parlimen Kuantan dengan harapan mereka dapat membantu,” katanya. 

Kata Syawaluddin, masalah ini mungkin timbul kerana kecuaiannya menghilangkan kad pengenalan beberapa kali. 

“Tidak dinafikan, kad pengenalan saya pernah hilang beberapa kali. Namun, saya sendiri tidak pasti apa yang berlaku ada kena-mengena dengan kehilangan kad pengenalan tersebut atau tidak,” katanya. 

Sementara itu, Pegawai Khas Ahli Parlimen Kuantan, Sim Chon Siang berkata, pihaknya sudah mendapatkan peguam untuk mengendalikan masalah Syawaluddin. 

“Buat masa ini, kami akan serahkan kes ini kepada peguam yang dilantik kerana kami sendiri tidak mempunyai apa-apa kuasa untuk menyelesaikannya. Apa yang boleh saya kata, kami akan mengambil tindakan saman kepada pihak terbabit. 

“Memandangkan kami tidak mendapat kerjasama dari pihak bank, jadi saya rasa itulah cara terbaik untuk mencari penyelesaian kes ini,” katanya.
www.sinarharian.com.my/pahang/content/story8392225.asp

p/s: jaga I.c anda baik2....

No comments:

Post a Comment